Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melakukan upacara menuai pagi sebagai simbolik perasmian penutupan Sambutan Kaamatan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Satu mesyuarat tertinggi akan diadakan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan mengenai jalan penyelesaian isu air dan jalan raya di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai isu khususnya berkaitan prasarana yang dihadapi rakyat negeri ini harus diselesaikan dengan baik dengan bantuan kerajaan Persekutuan.

“Ketua Menteri menyebut kepada saya, sementara kerajaan di bawah pimpinan beliau kuat dan padu, beliau menyatakan ada masalah yang diselesaikan dengan baik tidak cukup dengan kekuatan negeri tetapi harus padu dengan kerajaan Persekutuan.

“Antara isu besar adalah isu air dan jalan-jalan. Maka saya telah beri keputusan esok pagi, Insya-Allah saya akan adakan mesyuarat tertinggi antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan masalah air bersama dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Induk Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr G Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga telah menyalurkan peruntukan membaiki jalan raya negeri ini, baru-baru ini.

Beliau juga menekankan peruntukan terbabit juga telah ditingkatkan dan ia merupakan peruntukan tertinggi untuk Sabah.

“Baru-baru ini, semua sudah tahu peruntukan untuk perbaiki ditingkatkan dan peruntukan tertinggi untuk membaiki jalan di Sabah ini.

“Kita telah minta tindakan segera projek Pan Borneo yang perlu diselesaikan. Tetapi untuk jalan-jalan yang rosak, kita sudah ambil tindakan dan saya percaya rakan kerajaan negeri.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan Perpaduan serius dan kita bertekad untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan pihajnya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta pelaksanaan aktiviti kebudayaan di KDCA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *