Tun juhar
Tun Juhar (empat dari kanan) melihat cenderahati yang disampaikan oleh Yusof (lima dari kiri) – ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkasakan  pengambilan mahasiswa institut pengajian tinggi awam  dan swasta.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Muhammad Yusof Apdal, KPT akan mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu para mahasiswa mendapatkan kerja selepas menghabiskan pengajian.

“Antara inisiatif yang kita lakukan ialah memberi pemahaman tentang kursus-kursus yang ditawarkan kepada bakal-bakal mahasiswa dan cara-cara membuat permohonan bagi memastikan tiada pelajar yang keciciran maklumat untuk memasuki IPTA mahupun IPTS.

“Kita juga mengadakan Program Jom Masuk U yang telah kita laksanakan sebelum ini bertujuan mendedahkan bakal mahasiswa dan ibu bapa tentang pemilihan kursus di IPTA/IPTS yang menawarkan peluang pekerjaan yang tinggi bagi memastikan bakal-bakal graduan ini tidak hanya keluar sebagai graduan tetapi mempunyai kebolehpasaran kerja di pasaran, seterusnya mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Dalam kunjungan tersebut, Mohammad Yusof turut memaklumkan perkembangan IPTA dan IPTS di negeri ini, selain meminta pandangan Tun Juhar berkaitan langkah yang perlu bagi meningkatkan kebolehpasaran para mahasiswa setelah tamat belajar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Pembangunan KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri, Naib Canselor Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki.

Selepas itu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat Presiden Sabah Black Riders Club Tawau, Saidin Jalaludin yang bertujuan mempelawa Tun Juhar sebagai penaung kelab berkenaan di samping memberi taklimat mengenai program yang akan dilaksanakan.

Antara program terdekat ialah Program Rahmah Madani iaitu konvoi bermotosikal ke Kg Tambisan di Lahad Datu bertujuan membuat amal kebajikan dengan memberi bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *