Tan Sri Lee Lam Thye…

KUALA LUMPUR – Persekitaran kerja kondusif, selesa dan harmoni perlu disediakan sebagai usaha mengurangkan masalah ponteng kerja dalam kalangan penjawat awam yang mana sekaligus dapat melahirkan budaya sihat, demikian menurut aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya yang dipetik Berita Harian, perkara itu penting bagi memastikan kakitangan awam bersemangat dalam bekerja, sekali gus memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan iaitu masyarakat sejagat.

“Ini sekali gus membawa impak positif dalam kalangan penjawat awam dan menjadi teladan pada masa hadapan…

“Setiap masyarakat inginkan perkhidmatan terbaik ketika berurusan dengan penjawat awam,” katanya melalui kenyataan semalam.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, mendedahkan ponteng kerja atau tidak hadir bertugas hingga berhari-hari menjadi kesalahan paling ‘popular’ dilakukan penjawat awam.

Tan Sri Zainal Rahim Seman…

Lam Thye berkata, perkara itu amat dikesalkan dan jika tidak didedahkan, ia akan melarat sehingga menjejaskan perkhidmatan cemerlang yang sentiasa diharapkan oleh rakyat kepada kerajaan.

“Sikap culas seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan awam dan jika berlaku, ia hanya membabitkan peratusan yang kecil saja…

“Saya juga berharap pentadbiran kerajaan baharu dapat mengelakkan masalah ini berlaku dalam kalangan penjawat awam.

“Sekiranya ada yang berperangai sedemikian ambillah pendedahan ini sebagai teguran dan jadikan kesempatan ini untuk mengubah sikap negatif dalam bekerja,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai sentiasa mengharapkan kakitangan awam yang dipilih dalam sektor awam terdiri daripada mereka yang berprestasi tinggi, berintegriti dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Justeru, pastikan penjawat awam menjadikan setiap tugas yang disandang sebagai amanah dan tanggungjawab mestilah dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *