Durian
Pikap yang dirampas daripada suspek kerana dipercayai melarikan buah durian yang dijual oleh seorang penjual di gerai buah berhampiran bulatan Mardi di Kluang, Jumaat lalu ( Sumber Foto: PDRM )

KLUANG – Lelaki yang memperdayakan seorang penjual durian di Jalan Kluang – Kota Tinggi berhampiran bulatan Mardi pada kelmarin berjaya ditahan di tepi jalan Taman Desa Baiduri, Kulai tengah malam tadi.

Memetik sumber Kosmo, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam.

Mengulas lanjut, suspek terbabit ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda berwarna putih seperti dilaporkan serta buah durian seberat kira-kira 80 kilogram.

Katanya, suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai ciri-ciri yang dilaporkan oleh pengadu selepas kejadian kira-kira pukul 5.20 petang.

“Mengikut keterangan pengadu, suspek datang ke gerai sebelum membuat tawaran untuk membeli semua buah durian yang dijual digerainya.

“Selepas membuat rundingan dengan pemilik sebenar gerai, jualan dipersetujui dan proses dilakukan menimbang semua buah sebelum dimuat naik atas kenderaan pikap yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bahrin lagi, selepas semua proses hampir selesai dan jumlah jualan bernilai RM2,500 dinyatakan, suspek terus masuk dalam kenderaan dan meninggalkan pengadu tanpa membuat sebarang bayaran.

Tambahnya lagi, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan lampau iaitu empat jenayah dan enam dadah.

“Siasatan masih diteruskan dan suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 31 Mei ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *