Masidi
Masidi (dua dari kiri) dan Jainisah (kiri) semasa melafazkan ikrar Rukun Negara ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dilancarkan serentak di tiga buah lokasi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, pelancaran tersebut buat julung kalinya diadakan serentak di tiga lokasi iaitu Kota Kinabalu Sabah, Kuching Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Pelancaran ini merupakan program kick-off sign untuk mengira detik menuju ambang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kelak.

“Pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan di peringkat negeri dan kebangsaan sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Berbanding tahun sebelumnya, pelancaran kali ini memberi ruang yang mencukupi kepada jabatan dan agensi dan organisasi-organisasi lain untuk mempromosi serta menyebarluaskan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Tema pada tahun ini mendasari tekad dan komitmen pemimpin bersama rakyat bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai semangat perpaduan tinggi, bersatu-padu serta kehidupan aman dan sejahtera,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Negeri Sabah di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyeru kepada semua pihak untuk menggunakan logo dan tema ini secara meluas.

“Marilah kita bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara melalui penganjuran program-program dan aktiviti kenegaraan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di peringkat organisasi dan komuniti masing-masing,” tambahnya.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Setia Negara, Dr Nor Zahid Rahim, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Professor Dr Rosalam Sarbatly dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Suhaib Datuk Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 






Previous articlePikap Kebas Durian RM2,500 Berjaya Dicekup

Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *