KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau gembira melihat perbahasan berkualiti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua belah blok semasa persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlansung selama empat hari sejak Isnin lepas.
“Kerajaan atau pembangkang, sesi perbahasan kali ini cukup baik. Akan sentiasa ada yang menyokong atau menentang tetapi saya melihat peningkatan dalam cara ADUN Sabah berdebat.
“Sekarang Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti telah diluluskan sebulat suara, kita tidak perlu risau berlakunya lompat parti pada masa hadapan.
“Ia menunjukkan bahawa kita telah mencapai kata sepakat ke arah menjaga kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya sambil menambah undang-undang itu selaras dengan yang diperkenalkan di Persekutuan.