KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan sentiasa mendukung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) termasuk agenda yang digariskan pada lonjakan ketujuh iaitu Ekosistem Inovasi.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ekosistem inovasi hakikatnya memerlukan perkongsian kolaboratif antara ahli akademik, industri, kerajaan dan komuniti.
“Hanya melalui perkongsian kolaboratif sedemikian, pecutan idea ke dalam pengkomersialan dapat direalisasikan sekali gus meningkatkan hasil pendapatan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Sesungguhnya, UMS akan sentiasa mendukung matlamat itu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sustainable Development Goals (SDG) Leadership Kohot 2 anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama UMS di sini, semalam.
Menurut Dr Kasim, UMS juga sentiasa menggalakkan para pensyarahnya agar terus terlibat dengan komuniti di luar kampus.
Ujarnya, menerusi slogan “Leading Towards Innovative Societies”, UMS komited dalam memastikan agar keberadaannya di Sabah membantu pembangunan negeri itu yang mana kawasan luar bandarnya sangat luas dengan keadaan prasarana jalan raya yang sungguh mencabar.
“Ini ditambah pula dengan kecapaian teknologi komunikasi dan digitalisasi yang masih terbatas di kawasan pinggir-pinggir bandar dan pekan sahaja.
“Justeru, UMS baru-baru ini telah melancarkan pewujudan Living Lab atau Makmal Hidupan sebagai fasiliti penyelidikan dan pusat pemindahan ilmu secara langsung dengan komuniti sasaran.
“Living Lab ini adalah hasil daripada cetusan model kolaboratif merentas entiti yakni akademia universiti, rakan kongsi industri, agensi kerajaan dan masyarakat yang berfungsi sebagai sokongan utama untuk pembangunan dan penubuhan makmal hidupan,” jelas Dr Kasim.
Beliau menambah, menerusi model itu rakan industri memanfaatkan keupayaan akademik untuk menyokong keperluan mereka dalam menghasilkan produk yang lebih inovatif dan berdaya saing.
“Pihak kerajaan pula adalah kunci dalam menyediakan sokongan dan dasar dalam mentadbir pelaksanaan kemahiran dan produk inovatif kepada masyarakat melalui Living Lab ini.
“Misi UMS adalah untuk memastikan Living Lab ini dapat menjadi inspirasi kepada universiti lain dalam mencipta inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat dan industri sekali gus menjadi peneraju kepada masyarakat berinovatif, atau Leading Towards Innovative Societies,” katanya.
Menyentuh mengenai program SDG Leadership ini, Dr Kasim berkata, para peserta akan didedahkan dengan keunikan yang membawa kepada kejayaan dan kelestarian beberapa komuniti di luar bandar.
Ujarnya, para peserta akan dapat mendengar dan melihat sendiri bagaimana usaha yang telah dijalankan oleh komuniti-komuniti itu dapat merubah keadaan hidup mereka.
“Pada masa yang sama juga, berdasarkan kepada ilmu dan pengalaman yang para peserta ada, saya percaya akan berlaku perkongsian ilmu secara langsung yang boleh meningkatkan lagi kemandirian komuniti dalam memperkembangkan lagi kelestarian projek-projek sosioekonomi yang sedang mereka laksanakan.
“Saya percaya, menerusi program-program latihan dan kepimpinan yang diperkenalkan oleh AKEPT seperti ini akan mampu menjadikan warga akademia sama ada di universiti awam mahupun swasta lebih mengenali keunikan komuniti, sekali gus mencipta idea untuk kemudiannya digubah menjadi inovasi yang memanfaatkan,” kata Dr. Kasim.
Hadir sama, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat merangkap Penasihat Program, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut@Mohd Nasri; Ketua Program, Prof Madya Dr. Fatimah Ahmedy; dan Timbalan Ketua Program, Dr. Jakaria Dasan.
Program yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Mei 2023 itu disertai seramai 45 peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Antara penceramah jemputan termasuklah Prof. Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, Prof Dr Mansor Abu Talib, Prof Dr Haslan Abu Hassan, Prof Dr Jennifer Chan, OKK Abdul Kadir Damsal dan Dr Elia Godoong.
Penganjurannya antara lain sebagai salah satu usaha AKEPT membina kemahiran dan meningkatkan kepimpinan ahli akademik melaksanakan libatsama masyarakat.