Ums
Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Kem Tiga pada jam tujuh pagi ( Sumber: ME2023)

PUTRAJAYA – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Kem Tiga pada jam tujuh pagi waktu Nepal hari ini.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua ME 2023, Azim Afif Ishak, ketika dihubungi, berkata jenazah dibawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

Menurutnya, ketika ini pasukan penyelamat berehat sebentar selepas berhempas pulas selama sembilan jam bergilir-gilir mengusung jenazah sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Dua.

Katanya, cuaca ketika ini berada dalam keadaan kurang baik berangin serta mendung dan suhu sekitar negatif 23 darjah celcius.

“Perjalanan dari kem tiga ke kem dua dijangka mengambil masa selama dua jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Jenazah Awang Askandar yang juga Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah sepatutnya dibawa turun pada Isnin, namun tertangguh akibat faktor cuaca.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 10.30 pagi Jumaat waktu Nepal, selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest.

Kejadian berlaku ketika beliau hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Azim berkata, setiba di Kem Dua, jenazah akan diterbangkan dengan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) seterusnya dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.

Katanya, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan jenazah dijangka diterbangkan ke Kathmandu pada satu tengahari waktu tempatan Nepal.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *