Awang
Awang Askandar Ampuan Yaacub ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Awang Askandar )

GOMBAK, SELANGOR -Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat ini.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jenazah sudah berjaya dibawa turun ke Everest Base Camp (EBC) dan akan dibawa ke hospital di Kathmandu, Nepal.

“Selepas proses tertentu di hospital, jenazah akan diterbangkan ke Malaysia dan seterusnya dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah, bagi memenuhi hasrat ahli keluarganya yang mahukan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung beliau sendiri.

“Kita jangkakan jenazah akan tiba di Kota Kinabalu pada Jumaat ini dan kemungkinan jenazah akan dikebumikan pada hari sama atau selewat-lewatnya pada Sabtu di Kampung Benoni, Papar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Ramah Monsun Barat Daya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Aminurrahim Mohamed.

Terdahulu media melaporkan, jenazah Awang Askandar, 56, tiba di EBC kira-kira jam 9.50 pagi waktu Nepal (sekitar 12 tengah hari waktu Malaysia).

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak dipetik berkata, jenazah selamat dibawa turun dengan bantuan enam malim gunung menggunakan pengusung.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, isteri Allahyarham, Siti Hafizah Abdul Hamid, 31, bersama enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun juga sudah dibawa pulang ke kampung arwah dari Alor Setar, Kedah, semalam.

Ditanya mengenai seorang lagi pendaki Malaysia, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas berjaya menawan puncak Everest, beliau berkata, usaha pencarian masih diteruskan.

Beliau tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana maklumat pencarian itu di bawah pengetahuan Kementerian Luar.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan komitmen kerajaan membantu dari segi kewangan untuk membolehkan operasi pencarian dilaksanakan dengan baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *