Juhar
Tun Juhar menerima teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah daripada Hajiji (kiri) pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan DUN Sabah Keenam Belas di Dewan Persidangan ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pembangunan infrastruktur dan utiliti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, usaha tersebut adalah sebagai pemboleh daya efektif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menambah baik kemudahan infrastruktur dan utiliti termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembetungan, pelabuhan dan dermaga serta pengangkutan awam akan diperhebatkan, termasuk menyegerakan pelaksanaan Projek  Lebuhraya Pan Borneo dan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.

“Selain itu, kerajaan negeri akan memperkukuh perancangan inisiatif pemasangan kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi.

“Ini adalah bagi memastikan Sabah mencapai 100 peratus kesalinghubungan internet menjelang tahun 2024 yang dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“Pelaksanaan program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang melibatkan pembinaan baharu, menaik taraf dan menambah capaian jajaran fibre optik juga akan diperkasa,” ujarnya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Keenam Belas di sini, pada Isnin.

Menyentuh mengenai kadar kemiskinan di Sabah, Juhar menjelaskan kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mengatasi melalui pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan, sedang giat melaksanakan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk membasmi miskin tegar dengan menggerakkan kekuatan bersepadu sektor awam, swasta dan komuniti selain melaksanakan program pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan rumah mampu milik khususnya kepada golongan miskin tegar.

“Pada masa yang sama, usaha untuk meningkatkan infrastruktur dan utiliti di luar bandar akan terus diperkasa melalui program-program yang telah diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 seperti projek-projek pembangunan bina baharu dan baik pulih jalan raya, jambatan, balai raya, sistem perparitan dan pembetungan di kawasan kampung, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA),” jelasnya.

Hadri sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzin M. Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong serta menteri-menteri dan pembantu-pembantu menteri Kabinet Negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *