Gambar sekadar hiasan…

KUANTAN, PAHANG – Polis menahan seorang lelaki bersama daun ketum dianggarkan seberat 450 kilogram di Kampung Seberang Jelai, Kuala Lipis semalam, yang dipercayai rampasan daun ketum terbesar daerah itu setakat ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 33 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan pada 6.45 pagi dan selain daun ketum, pihaknya turut merampas 400 botol berisi cecair hitam disyaki campuran ubat batuk dan dadah jenis kodein.

“Semua daun ketum dan cecair itu ditemukan dalam plastik hitam yang disimpan di muatan belakang sebuah pacuan empat roda yang berada di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu…

“Siasatan awal mempercayai suspek memperoleh semua barangan itu dari Sik, Kedah,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Azli berkata turut dirampas ialah sebilah parang dan wang tunai RM550, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM11,050.

Suspek yang mempunyai 10 rekod kesalahan lampau termasuk curi, melakukan khianat dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, akan direman hari ini (22 Mei) bagi siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *