Hajiji
Caption Gambar 205705 & 205801

Hajiji memukul gong sebagai tanda merasmikan Festival Muzik dan Tarian Tradisi Dusun (FMTD) Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan dan memartabatkan budaya etnik masing-masing agar tidak terus dilupakan, malah juga terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan rakyat yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua.

Menurutnya, usaha perlu dilakukan untuk mengetengahkan budaya dan tradisi yang diwarisi kepada rakyat secara keseluruhannya terutama generasi muda.

“Era globalisasi dan kemodenan masa kini dikhuatiri akan menyebabkan anak-anak muda kita tidak mengenali budaya bangsa masing masing. Kita perlu memastikan tradisi dan budaya yang diwarisi tidak pupus malah harus dipastikan terus kekal hingga ke generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Muzik dan Tarian Tradisi Dusun (FMTD) Zon Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, semalam.

Hajiji berkata, festival itu yang julung kali diadakan bertujuan menghidupkan semula dan melestarikan kekayaan kesenian Dusun di daerah Tuaran dan Tamparuli khususnya muzik tradisi Mojumbak dan tarian-tarian tradisi Dusun lain yang terdapat di daerah itu.

Menurutnya, tema festival, “Pemerkasaan Tradisi ke Arah Keberterusan dan Kelestarian Budaya Dusun” di Sabah jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk memastikan tradisi dan budaya etnik Dusun itu perlu dikekalkan serta diwarisi hingga ke generasi akan datang.

Katanya, kerajaan negeri menyokong dan menyambut baik penganjuran festival seperti itu kerana ia sesuai dengan kepelbagaiaan budaya di Sabah yang memang unik dan menarik.

“Hasrat untuk menghidupkan semula dan melestarikan muzik tradisi Mojumbak dan tarian tradisi ini menunjukkan satu perkembangan yang positif, menerusi penganjuran festival ini.

“Kekayaan budaya inilah merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana, berasaskan komuniti di Sabah,” tegasnya.

Hajiji berkata, tarian tradisi seperti limbai, sumazau dan magunatip serta muzik tradisi seperti kulintangan sudah diketahui ramai tetapi beliau percaya dengan lebih 30 etnik di Sabah, masih banyak lagi khazanah budaya lama yang perlu diselongkar dan diketengahkan seperti muzik tradisi Mojumbak agar tidak pupus ditelan zaman.

Beliau percaya dengan perkongsian lagu dan muzik dari satu budaya ke budaya lain akan memberi orang ramai gambaran tentang cara hidup yang berlainan, disamping itu muzik dan lagu mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan orang ramai.

“Umpamanya malam (semalam) ini, orang ramai yang hadir bukan saja untuk memeriahkan majlis ini tetapi dalam masa sama ia mampu mengeratkan hubungan rakyat berbilang kaum dinegeri ini,” tegasnya.

Hajiji berharap Festival Muzik dan Tarian Tradisi Dusun (FMTD) dapat dijadikan sebagai program tahunan agar menjadi satu lagi produk pelancongan baharu di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *