KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 3.8 kilogram (kg) ganja dan ketamin bernilai RM184,396 daripada sampai ke pasaran tempatan sini pada Isnin lepas.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata mesin pengimbas menangkap imej mencurigakan yang rupanya 886 gram ganja dan 3.01 kilogram ketamin.
“Kedua-dua percubaan penyeludupan melalui pos kurier yang dialamatkan kepada syarikat yang tidak wujud atau tidak aktif.
“Rampasan pertama pada 15 Mei dan rampasan kedua empat hari kemudian (19 Mei).
“Tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua kes dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya pada sidang media hari ini.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd Nasir berkata Kastam Sabah berjaya merampas 32.26 kg pelbagai dadah bernilai RM1.244 juta tahun ini.
“Rampasan melibatkan empat jenis dadah iaitu methamphetamine (syabu), ketamin, ganja dan daun ketum,” katanya.