Armizan
Armizan ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Masyarakat di daerah ini bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih baik apabila trek sintetik siap tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek yang bernilai RM 1.2 juta tersebut akan bermula serta merta untuk dimanfaatkan oleh masyarakat khususnya warga pendidik.

“Kita tahu di Papar ini pada tahun 2018, Kompleks Sukan Papar telah dibatalkan dan kita dalam proses untuk memasukkannya semula.

“Namun, sebagai alternatif sebagai langkah interim kerajaan negeri telah meluluskan supaya padang sedia ada dipasang trek sintetik yang boleh digunakan khususnya para pelajar semasa sukan sekolah dan juga masyarakat Papar untuk aktiviti riadah.

“Ia projek yang kecil tetapi cukup bermakna untuk masyarakat khususnya warga pendidik yang setiap tahun terpaksa meminjam Kompleks Sukan Beaufort dan Kompleks Sukan Penampang untuk sukan.

“Projek ini akan dilaksanakan serta merta dan dapat dimanfaatkan pada tahun ini,” ujar beliau.

Gimik pelaksanaan projek terbabit diadakan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Adun Kawang di Dewan SMK Pengalat dekat sini, pada Sabtu.

Pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong menyerahkan replika waran pelaksanaan projek kepada Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah, disaksikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain itu, Fadillah dan Hajiji juga menyaksikan penyerahan replika waran pembinaan 120 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2022 dan 2023 oleh Safar kepada Mohd Fuad merangkumi 40 unit rumah masing-masing bagi DUN Kawang, DUN Pantai Manis dan DUN Limbahau.

Turut berlangsung, penyampaian duit raya kepada 200 orang asnaf sumbangan Yayasan Felda dan biskut raya sumbangan Team Amal Kazuko oleh Fadillah diiringi Hajiji, ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Datuk Seri N.W Hisham Abdul Wahab yang juga Presiden Pertubuhan Sahabat Angkatan Pertahanan Awam Pespa serta Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Datuk Mohd Banuri Aris.

Turut disampaikan, hadiah Juara Pertandingan Bersusul Paparian Peringkat Dun Kawang kepada Roslih Yunus yang juga Juara Peringkat Parlimen dari Kg Sri Tanjung Pengalat Kecil Papar, Juara Peringkat Dun Pantai Manis (Malai Ramadhan Malai Ali) dan Juara Dun Limbahau (Mohd Afendi Jalani).

Lebih 15,000 tetamu terdiri daripada saudara mara, sahabat-handai, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta masyarakat berbilang kaum dan agama hadir pada majlis di penghujung Syawal itu. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *