TELUPID, SABAH – Kerajaan akan terus melaksanakan program-program bagi membantu meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di daerah ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Beliau menyifatkan Telupid berpotensi untuk dibangunkan memandangkan kedudukannya sebagai daerah perantaraan yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Sandakan.
Katanya, program-program ini secara langsung akan membantu merancakkan lagi ekonomi daerah ini.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid yang diadakan Dewan Masyarakat Telupid, disini, semalam.
Berharap semua yang merayakan Pesta Kaamatan menghayati tema perayaan tahun ini iaitu Kaamatan Membudayakan Perpaduan, beliau berkata, tema tersebut bertepatan dengan usaha Kerajaan dalam menyatupadukan etnik Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) bersama dengan etnik lain yang terdapat di negeri menerusi perayaan Pesta Kaamatan ini.
“Kaamatan adalah masa untuk kita berkumpul dan bersama-sama meraikan kesyukuran kepada Tuhan di atas hasil tuaian ataupun kerja kita pada tahun ini.
“Bersesuaian dengan tema pada tahun ini, Kaamatan Membudayakan Perpaduan dapat menyatupadukan kita semua tidak kira kecil besar, tua dan muda dari segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid yang juga Setiausaha Politik kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jonnybone J. Kurum atas pelaksanaan sambutan Pesta Kaamatan Daerah Telupid dengan jayanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Negeri Sabah yang juga ADUN Labuk, Samad Jamri; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) merangkap ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Pegawai Daerah Telupid merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid, Celestine Jetony.