Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraikan kemenangan ketika menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-14, 21-17 untuk mata pertama Malaysia pada aksi suku akhir Piala Sudirman 2023 menentang Denmark malam tadi…(Sumber Foto: Badminton Photo/Jhanesh Salian)

KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara mara ke pentas separuh akhir Piala Sudirman 2023 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Denmark malam tadi di Suzhou, China.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia meraih mata pertama menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-14, 21-17.

Walaupun membuat perhitungan sulung dengan beregu No.18 dunia itu, namun Tang Jie-Ee Wei langsung tidak menunjukkan rasa gentar sebelum menyumbang mata semangat buat pasukan negara.

Ee Wei berkata, dia pada awalnya agak gemuruh untuk bertemu Christiansen-Boje kerana berada pada ranking lebih rendah di tangga ke-22, namun tuah nyata menyebelahi mereka pada perlawanan itu.

“Kita menerima cabaran tersebut dan berjaya melaluinya dengan baik. Saya sangat gembira kerana berjaya bertarung di dalam gelanggang bagi mendapatkan mata buat Malaysia,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Perlawanan seterusnya menurunkan Lee Zii Jia bagi berdepan cabaran pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang mana kemenangan percuma diperolehi selepas pemain Denmark itu mengalami kecederaan hamstring kaku kiri ketika mendahului 4-3 di set pertama.

Pemain perseorangan Denmark, Viktor Axelsen mengalami kecederaan ketika menentang Zii Jia…(Sumber Foto: AFP)
Lee Zii Jia (kiri) bersalaman dengan Viktor Axelsen selepas pemain Denmark itu tidak dapat meneruskan aksi kerana mengalami kecederaan pada saingan suku akhir Piala Sudirman…(Sumber Foto: AFP)

Hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan bersih 3-0 ke atas Denmark bagaimanapun tidak kesampaian apabila perseorangan wanita, Goh Jin Wei tewas 14-21, 21-15, 19-21 kepada Mia Blichfeldt dalam aksi yang memakan masa lebih sejam.

Beregu lelaki yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia apabila menewaskan gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.

Menanti Malaysia di pentas separuh akhir esok adalah Korea Selatan yang mengenepikan cabaran naib juara Kumpulan C, Taiwan menerusi kemenangan mudah 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di sebelah pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *