Ellron
Ellron merakamkan gambar kenangan bersama-sama warga kampung ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

SOOK, SABAH – Menyedari hakikat kurangnya penglibatan belia pedalaman di peringkat negeri Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin menggesa agar setiap kampung di kawasan pedalaman menubuhkan kelab belia.

“Saya melihat sendiri dalam Majlis Belia Sabah kurangnya penyertaan daripada belia pedalaman khususnya daerah-daerah seperti Tenom, Sipitang, Nabawan dan Sook.

‘Walhal, penubuhan Majlis Belia Sabah itu sendiri adalah satu badan khusus untuk belia seluruh Sabah bagi melontarkan dan menyuarakan idea dan aspirasi mereka terhadap pembangunan belia Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, penubuhan kelab belia di setiap kampung di pedalaman Sabah adalah penting bagi memastikan idea dan aspirasi mereka didengari.

Selain itu, ia juga membolehkan mereka sendiri berkongsi isu-isu belia pedalaman dalam satu platform penting samaada dalam peringkat negeri ataupun kebangsaan.

“Saya mahu belia dan beliawanis pedalaman berkecimpung dan melibatkan diri dalam pembangunan negeri dan negara menerusi kelab belia di kampung mereka masing-masing.

“Penubuhan kelab belia juga membolehkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka berumur 40 tahun ke bawah menyertai pelbagai kursus dan program yang ditawarkan oleh agensi kerajaan.

“Penyertaan mereka dalam kursus dan program ini pastinya akan memberikan kelebihan kepada mereka kelak apabila memohon pekerjaan di syarikat swasta mahupun jabatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ellron dalam pada itu juga memaklumkan kerajaan negeri menerusi kementeriannya dan agensi kerajaan yang lain juga akan memberikan sejumlah dana untuk menggerakkan kelab belia yang berdaftar.

Selain itu, beliau juga berharap agar pemimpin masyarakat bermula daripada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memainkan peranan penting bagi membantu belia menubuhkan kelab di kampung masing-masing.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *