Jahid
Jahid (empat dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Jamlin (tiga dari kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAMPARULI, SABAH – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) menyerahkan lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, lima buah rumah tersebut adalah sebahagian daripada 1,500 unit Rumah Mesra SMJ yang disasarkan untuk dibina bagi tahun 2022.

“KPLBS telah dipertanggungjawab untuk menyelaras program Rumah Mesra SMJ dan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah serta Pejabat Daerah Kecil.

“Pada tahun 2022, KPLBS menyasarkan untuk membina 1,500 unit Rumah Mesra SMJ dan diagihkan sebanyak 20 unit kepada setiap DUN.

“Bagi DUN Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil telah siap membina lima unit Rumah Mesra SMJ iaitu di Kampung Kelian, Kampung Sri Seberang, Kampung Tambalugu, Kampung Pengesaan dan Kampung Dansangai manakala 15 unit lagi akan dilaksanakan pada tahun ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ Peringkat DUN Tamparuli di sini, pada Khamis.

Beliau memaklumkan pemilihan penerima Rumah Mesra SMJ adalah terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam sistem e-kasih, memiliki rumah daif, golongan kurang upaya (OKU) dan yang mengalami bencana sama ada kebakaran, banjir atau bencana alam lain.

Rumah Mesra SMJ dilancarkan pada September tahun lepas oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merupakan inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Hala Tuju SMJ bagi memastikan rakyat memiliki rumah sendiri.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Danin, Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS I, Aftar Nurajat, Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS II, Norsafi Dukah, Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *