Joachim
Joachim (enam dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEANS Sabah tahun 2021 dan 2022 ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan dan sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam yang merupakan aset penting sebagai agen pengantara di antara rakyat dan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata kerajaan memberikan penganugerahan dan penghargaan yang merupakan manifestasi keprihatinan dalam menghargai para penjawat awam.

“Sebagai aset penting kerajaan, para penjawat awam juga perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Joachim yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah turut menyeru agar warga kerja memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah (character building).

Ini selain mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif termasuk mengutamakan aspek integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas yang telah diberikan, tambahnya.

Aspek integriti dan pemantapan anti-rasuah haruslah sentiasa menjadi agenda utama sesebuah organisasi agar sentiasa kukuh dan telus,” tegasnya.

Beliau berharap penganugerahan dan penghargaan pada majlis ini menjadi sumber inspirasi serta motivasi semua warga kerja untuk membentuk budaya perkhidmatan yang berkualiti, berintegriti dan berprestasi tinggi seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap, Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman; Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Siti Zuraihan Ag. Mohd. Husin; Timbalan Pengarah (Pembangunan), Datin Dr Cleopatra @ Clare Asingn dan Ketua Penolong Pengarah ILMAN, Maraban Tunggkil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *