KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilantik sebagai Pengerusi baharu Institut Jantung Negara (IJN), berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Memetik sumber Bernama, IJN dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan Dr Noor Hisham adalah episod menarik kepada IJN berikutan pengalaman luas beliau dalam sektor penjagaan kesihatan, terutama peranan menerajui kepimpinan tertinggi sepanjang kariernya.
Malah, IJN percaya pengalaman luas dimiliki Dr Noor Hisham dalam sektor penjagaan kesihatan, akan menjadi aset bagi kejayaan berterusan IJN, ditambah dengan kemahiran beliau dalam tadbir urus dan pengurusan serta komitmen terhadap penjagaan pesakit.
“Tahniah saya ucapkan kepada Dr Noor Hisham atas jawatan baharu beliau bersama kami di IJN. Saya yakin pandangan jauh beliau akan membantu memacu IJN ke tahap lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, menerusi kenyataan itu.
Dr Noor Hisham menggantikan Datuk Dr Abdul Rozali A Wathooth yang telah menjadi Pengerusi IJN sejak 29 November 2019 dan sebagai Lembaga Pengarah sejak 6 Februari 2006.
“Bagi pihak IJN, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Abdul Rozali atas sumbangannya sekian lama. Jasa beliau yang akan terus menjadi inspirasi kepada kami pada masa depan,” kata Dr Aizai Azan.
Menurut kenyataan itu lagi, IJN akan kekal fokus dalam meningkat kebajikan pesakitnya dan menerima baik inovasi, terutama di tengah-tengah landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.