Joachim
Joachim menandatangani plak dewan mini Kironas selepas menyempurnakan gimik penyerahan kunci dewan baharu itu ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

RANAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri II yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menggalakkan golongan muda termasuk di daerah ini untuk belajar dan menguasai bahasa asing selain bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.

Beliau mencadangkan mereka belajar dan menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing lain selain bahasa Inggeris iaitu sama ada bahasa Jepun, Jerman, Korea atau Cina.

Katanya, bahasa-bahasa asing ini mempunyai teknologi yang lebih canggih yang boleh dipelajari sekiranya mampu menguasai bahasa mereka.

“Banyak pelancong dari negara lain, dan negara maju dari segi teknologi….jadi, tidak salah kita menguasai bahasa mereka ini,”
katanya pada Program Peningkatan Ekonomi dan Majlis Perasmian Kelab Anak Muda Kampung Lobou Baru (KAMLOBA) yang diadakan di balai raya kampung itu, di sini, semalam.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyambut baik usaha meningkatkan ekonomi penduduk kampung dan belia Kampung Lobou Baru melalui program yang diadakan itu.

Beliau amat berbangga ada di kalangan anak-anak muda ini yang antaranya lepasan graduan bersama-sama orang kampung dengan memberi ceramah tunjuk ajar kepada anak-anak muda yang masih di bangku sekolah.

“Kita akan terus menyokong penuh usaha ini,” katanya.

Pada hari yang sama, Joachim yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyempurnakan simbolik penyerahan kunci dewan mini Kironas semasa Program Jelajah Keluarga PBS.

Dewan ini akan memberi manfaat kepada lebih 900 penduduk dua kampung iaitu Kampung Kirokot dan Kampung Kilanas Baru.

Beliau turut menyampaikan sumbangan 100 kerusi kepada dewan itu serta bantuan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *