LAWAS, SARAWAK – Nikmat kemerdekaan harus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak tidak kira latar belakang untuk memastikan nikmat kemerdekaan terus dipelihara.
“Sebab itulah penting untuk kita terus bersatu padu bekerjasama diantara satu dengan yang lain.
“Seperti yang diamalkan di negeri ini, walaupun kita berbeza dari segi kaum, adat resam, budaya dan latar belakang yang berlainan namun kita dapat hidup dalam satu keadaan hormat-menghormati, berharmoni antara satu dengan yang lain.
“Generasi muda perlu melihat kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, sebaliknya sebuah kebebasan untuk rakyat mencorak negara bagi menjamin kehidupan generasi akan datang.
“Kita harus pastikan anak bangsa kita mempunyai nilai-nilai yang baik, adat resam, sopan santun, berakhlak, tanamkan dalam diri kita bahawa kita boleh membuat sesuatu lebih baik dari hari ini dan esok akan lebih cemerlang.
“Hasrat kita bukan hanya untuk merdeka, kita mahu negara kita ini membangun mengikut acuan kita sendiri,” jelasnya ketika merasmikan program Infiesta Intergrasi@ Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 di Tebingan Sungai Lawas, pada Ahad.
Pada majlis tersebut beliau turut memuji peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) dalam penganjuran program Infiesta Intergrasi@ Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023.
Menurut beliau program integrasi antara Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dapat menyuntik semangat kemerdekaan di kalangan rakyat dalam usaha menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Secara tidak langsung ia menunjukkan kebersamaan antara rakyat Sarawak, rakan kita di Sabah dan Labuan dalam mendokong kedaulatan negara yang tercinta ini melalui kibaran Jalur Gemilang” jelasnya lagi.
Hadir sama, isteri Timbalan Premier Sarawak Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pengarah JaPen Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah JaPen Sarawak Jaafar Jantan dan Pengarah JaPen Wilayah Persekutuan Labuan, Azman Sipan. — JABATAN PENERANGAN SABAH