PHNOM PENH – Pihak berkuasa di Kemboja pada Ahad memaklumkan beribu-ribu serpihan senjata yang tidak meletup peninggalan perang saudara Kemboja ditemui di dalam sebuah sekolah di timur laut negara itu.
Beberapa dekad selepas konflik kejam dan kempen pengeboman Amerika Syarikat (AS) bermula pada 1960-an, negara itu kekal antara yang paling banyak dibom dan dilombong di dunia.
Memetik laporan AFP, lebih 2,000 bahan letupan, termasuk lebih 1,000 bom tangan M79 ditemui di dalam kawasan sebuah sekolah tinggi di wilayah Kratie selama tiga hari, kata Heng Ratana, ketua pengarah Pusat Tindakan Lombong Kemboja.
Beliau memberitahu AFP sisa bahan letupan ditemui selepas sekolah itu membersihkan tanah untuk memperluaskan taman.
“Sekolah ditutup buat sementara waktu,” kata Heng Ratana.
Imej menunjukkan beberapa jisim bahan letupan yang digali, berkarat dan disusun dalam barisan.
“Ia satu kejayaan besar untuk pelajar. Alat letupan ini mudah meletup jika ada yang menggali ke dalam tanah dan mengenainya,” katanya.
Tapak itu adalah stesen tentera ketika perang, katanya, dan operasi untuk membersihkan kawasan itu mungkin akan mendedahkan lebih banyak lagi.
Perang saudara Kemboja berlarutan sehingga 1975, dengan AS dan Vietnam Utara dan Selatan pada masa itu menyokong pelbagai pihak.
Kesan kempen pengeboman AS dan ladang periuk api yang ditinggalkan telah lama dirasai dengan cara yang tragis, dengan kira-kira 20,000 rakyat Kemboja terbunuh sejak empat dekad lalu selepas memijak periuk api atau bom.
Kerja pembersihan diteruskan sehingga hari ini, dengan kerajaan berikrar untuk membersihkan semua lombong dan senjata yang tidak meletup menjelang 2025.