KOTA BHARU, KELANTAN – Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka akan mengangkat sumpah pada Selasa ini.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Besar merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya akan membincangkan mengenai perkara terbabit sebelum menyerahkan tiga nama kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kita akan bincang berhubung calon Menteri Besar hari ini, insya-Allah majlis angkat sumpah akan diadakan Selasa ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Kemenagan Perikatan Nasional (PN) Kelantan di sini, malam tadi.
Susulan kemenangan PAS di 43 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan semalam, timbul persoalan siapa Menteri Besar yang baharu di Kelantan susulan Ahmad tidak mahu mengekalkan jawatan berkenaan dengan alasan faktor kesihatan.
Dua nama yang dikaitkan sebagai calon Menteri Besar yang baharu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang juga calon DUN Temangan.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang juga calon DUN Meranti turut dikaitkan sebagai calon Menteri Besar.
Mohamed Fazli adalah calon dari golongan teknokrat, manakala Mohd Nassuruddin adalah calon dari golongan agamawan.
Namun berdasarkan sumber pimpinan dalaman PAS, sehingga mesyuarat malam tadi belum diputuskan tiga nama calon yang akan dihantar kepada Presiden PAS.
Sebaliknya ada permintaan daripada pimpinan parti yang mahu Ahmad kekal sebagai Menteri Besar untuk tempoh tertentu, bukannya selama sepenggal sebelum diserahkan kepada calon lain.
Bagaimanapun ada pihak tidak menolak kemungkinan Timbalan Pesuruhjaya PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga antara nama calon yang diangkat sebagai Menteri Besar dengan mengambil kira faktor hierarki dalam PAS Kelantan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan, Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan berkenaan.
Susulan itu, Menteri Besar sekarang, Ahmad dan Timbalannya, Mohd Amar dijangka tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan berkenaan kerana kedua-duanya golongan agamawan.
Katanya, gabungan kepimpinan di Kelantan membabitkan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.