Mahdzir
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

ALOR SETAR, KEDAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya akur dengan kekalahan parti itu di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir semalam.

Memetik sumber Berita Harian, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan. Akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam PRN Kedah semalam, BN tidak memenangi sebarang kerusi manakala rakan gabungannya dalam Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan (PH), raih tiga kerusi. PN pula memenangi 33 daripada 36 kerusi di pertandingkan.

Mahdzir berkata, BN tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat Kedah yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.

Beliau turut menasihatkan semua ahli UMNO dan BN Kedah untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan pada PRN kali ini.

“Saya nak berpesan kepada semua ahli-ahli UMNO dan BN untuk bertenang dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Kita sudah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN sahaja, malah dari dulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

“Tapi apabila rakyat mengambil keputusan tidak memilih BN, kita redalah dengan ketentuan Allah,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang sudah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

Mahdzir turut tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi, Mohd Radzi Md Amin dengan majoriti 6,373 undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.

Beliau memperoleh 8,024 undi, berbanding 14,397 diraih Mohd Radzi.

“Saya menerima kekalahandi DUN Pedu dengan hati terbuka dan mendoakan semoga pengundi di Pedu akan mendapat segala kebaikan selepas membuat pilihan menolak saya dan mengekalkan wakil rakyat berkenaan,” katanya.

Mantan Menteri Besar Kedah itu pernah mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013.

Selain Mahdzir, dua nama besar PH-BN yang turut tewas ialah Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengekalkan penguasaan di DUN Jeneri dengan memperoleh 16,050 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *