Undi
Gambar sekadar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

TAMPIN, NEGERI SEMBILAN – Hajat seorang wanita berusia 83-tahun untuk mengundi tidak kesampaian apabila rebah dan meninggal dunia selepas mencelup jari dalam dakwat di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Rokan di Gemencheh, sini, pagi tadi.

Mangsa diberikan rawatan susulan kejadian 10.30 pagi itu namun tahap oksigennya didapati semakin berkurangan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Gemencheh sekitar jam 11 pagi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa pergi ke SK Rokan untuk mengundi bersama ahli keluarga.

“Ketika di saluran satu, selepas mencelup jarinya dalam dakwat, arwah tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, wanita itu kemudian dibawa ahli keluarga ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Arwah sedarkan diri tetapi paras oksigennya menurun. CPR dilakukan oleh penolong pegawai perubatan namun ia tidak berjaya menyelamatkannya.

“Sebelum kejadian, wanita berusia 83 tahun itu mengadu kepada keluarganya bahawa dia mengalami sakit di bahagian kaki sejak pulang dari mengerjakan umrah.

“Terdapat rekod perubatan menunjukkan wanita ini adalah pesakit darah tinggi,” katanya.

Anuwal berkata, punca kematian disahkan pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *