GOMBAK, SELANGOR – “Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi-pengundi di Hulu Kelang yang memberi sokongan kuat serta padu kepada diri saya.”
Demikian ucapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Memetik sumber Utusan Malaysia, Mohamed Azmin berikrar untuk melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang baharu dengan sedaya upaya dirinya untuk memastikan cita-cita dan aspirasi rakyat tercapai.
“Saya percaya dengan dukungan semua, kita (akan) dapat melihat masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah.
“Saya amat gembira dan bersyukur kerana kita sedia maklum Hulu Kelang adalah antara kerusi yang terpanas dalam PRN kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan bagi DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.
Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu berjaya meraih undi sebanyak 25,597 meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli yang memperoleh undi sebanyak 23,980.
Ini menandakan Pengerusi PN Selangor itu berjaya mendapat jumlah majoriti undi sebanyak 1,617.
Mohamed Azmin berkata, beliau percaya pengundi membuat keputusan berdasarkan trek rekod dan prestasinya.
“Saya percaya pengundi-pengundi Hulu Kelang lebih selesa meletakkan wakil yang dikenali, mereka dapat menghubungi saya dengan mudah dan terus.
“Kita sudah berada dalam Hulu Kelang dalam satu keluarga besar dan ini mungkin antara faktor yang memberikan jalan mudah untuk saya mengekalkan kerusi Hulu Kelang,” katanya.