KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 42 laporan berhubung penggunaan kad pengenalan milik individu lain dalam proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, hari ini.
Memetik sumber Berita Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata laporan tertinggi diterima di Selangor dengan 16 kes.
“Selain Selangor, sembilan kes sama dilaporkan di Kedah, Pulau Pinang (lapan), Terengganu (lima), Negeri Sembilan (tiga) dan Kelantan, satu kes.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Razarudin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak laporan polis dibuat oleh pengundi yang mengesan kad pengenalan mereka sudah digunakan dalam proses pengundian PRN 15 di enam negeri.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan membabitkan kesalahan Seksyen 3(1)(m) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mencetak apa-apa bahan menyamai kertas untuk digunakan atau mungkin diguna dalam pilihan raya.
“Pihak polis turut menerima laporan berhubung kesalahan khianat ke atas bendera parti dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dua laporan berhubung rasa tidak puas hari disebabkan jari kanan dicelup ketika proses mengundi,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh hari pengundian, polis tidak menerima sebarang laporan membabitkan kejadian rusuhan dan mendatangkan kecederaan.