KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah menguasai sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi yang menyaksikan undi diperoleh di semua kerusi itu sudah melepasi 50 peratus.
Memetik sumber Berita Harian, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 8 malam, DAP sudah memperoleh 60 peratus atau 19,364 undi di DUN Bagan Jermal berbanding Perikatan Nasional (PN) yang hanya memperoleh 3,406 undi atau 11 peratus.
Keputusan tidak rasmi juga menyaksikan DAP turut mengekalkan DUN Berapit dengan 16,015 undi atau 60 peratus dan Padang Lalang dengan 20,420 undi atau 57 peratus.
DAP turut menang di DUN Jawi dengan 18,462 undi atau 51 peratus, Air Putih dengan 8,710 undi atau 57 peratus.
Begitu juga di Padang Kota, DAP menang dengan 7,811 undi atau 52 peratus dan Pengkalan Kota dengan 14,921 atau 70 peratus undi.
DAP juga secara tidak rasmi menang di DUN Komtar dengan 8,859 undi atau 57 peratus, Batu Lancang dengan 21,199 undi (65 peratus) dan Paya Terubong dengan 33,484 undi atau 54 peratus.
DUN lain sedang didahului parti itu ialah Seri Delima dengan 49 peratus undi, Air Itam (47 peratus), Sungai Pinang (32 peratus), Datok Keramat (32 peratus), Pulau Tikus (31 peratus), Tanjong Bunga (25 peratus), Perai (41 peratus), Bagan Dalam (22 peratus) dan Sungai Puyu (38 peratus).