Fahmi Fadzil…

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah menghantar notis tuntutan kepada blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung fitnah konon beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor, pada 30 Julai lalu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang dipetik Bernama berkata, notis tuntutan telah dikeluarkan hari ini terhadap Wan Muhammad Azri ,yang dikenali sebagai ‘Papagomo’ ,atas dua hantaran yang telah dibuat dalam akaun Facebooknya.

“Melalui notis tuntutan tersebut, Fahmi, yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), menuntut antara lainnya, penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka,” katanya menerusi kenyataan.

Peguam itu berkata kenyataan fitnah yang telah dikeluarkan individu tersebut melalui akaun Facebook dan TikTok adalah berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Menteri.

Wan Muhammad Azri Wan Deris (dikenali sebagai Papagomo)…

“Ia seterusnya untuk menggambarkan seolah-olah Menteri menderhaka kepada arahan yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor dengan kononnya mengadakan ceramah politik di sebuah masjid, serta innuendo bahawa Menteri telah menyalahgunakan kuasa beliau,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi menyanggah dan kecewa dengan fitnah yang dilemparkan kononnya beliau berkempen di masjid serta menegaskan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor sekiranya diperlukan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor. Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

Katanya, ia berikutan hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit yang mengandungi ucapan Fahmi di masjid itu, di mana tempoh 12 minit ucapan daripada Menteri itu adalah berhubung penerangan berkaitan isu kumpulan muzik ‘The 1975’.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *