KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 799,782 penerima di kalangan rakyat negeri Sabah yang telah menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) setakat tahun 2023.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sumbangan STR itu membabitkan peruntikan sebanyak RM696.3 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa sebab permohonan tidak diluluskan berikutan adanya syarat kelayakan yang tidak dipenuhi.
“Pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang.
“Selain itu, kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan atau perceraian serta tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Jannie Lasimbang (DAP-Kepayan) mengenai jumlah penerima STR di Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Disamping itu, Hajiji turut menjelaskan STR
dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan telah dilaksanakan mengikut fasa.
“Terkini, pembayaran Fasa 3 adalah pada 26 Jun 2023 sehingga 5 Julai 2023. Manakala, penerima yang tiada akaun bank pula, boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional yang berdekatan sehingga 31 Disember tahun ini.
“Bagi memastikan STR ini juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah berkaitan di negeri Sabah bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September ini,” katanya.