PUTRAJAYA – Dua lelaki terpaksa meringkuk selama TUJUH (7) hari dalam penjara mulai hari semalam (31 Julai) setelah rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap mereka bagi kesalahan mendatangkan kecederaan parah kepada seorang rakan tujuh tahun lepas ditolak.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Mazlan Mohd Ali serta Ku Zaiab Ku Mat selepas memutuskan Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusannya yang mendapati kedua-dua tertuduh telah menyerang mangsa iaitu Wan Azmi Wan Omar.
Hadhariah berkata panel itu sebulat suara memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Mazlan, 56, dan Ku Zaiab, 62, justeru sabitan terhadap mereka adalah selamat serta wajar dikekalkan.
Katanya pendakwaan mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa seseorang dan mahkamah tidak boleh campur tangan.
Hadhariah turut mengeluarkan waran komital terhadap kedua-dua lelaki untuk mereka menjalani hukuman mulai semalam (31 Julai).
Sebelum ini, mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 serta seorang penjamin sementara menunggu rayuan.
Pada 22 April 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mazlan dan Ku Zaiab bersalah melakukan perbuatan itu dengan seorang lagi yang masih bebas di sebuah kedai di Kampung Gertak, Kuala Besut, Terengganu pada kira-kira 11 pagi 29 Ogos 2016.
Mereka gagal di peringkat Mahkamah Tinggi dan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Mengikut fakta kes, mangsa mengenali Mazlan serta Ku Zaiab selama 10 tahun dan mereka adalah sahabat baik. Mazlan dan Ku Zaiab mengusahakan perniagaan menjual ais.
Pertikaian berlaku susulan persaingan dalam perniagaan di sekitar Besut di mana seorang lagi individu bersama kedua-dua tertuduh telah memberi amaran kepada mangsa agar tidak lagi menjual ais di kawasan itu.
Mazlan telah menggunakan sebatang besi manakala Ku Zaiab bersenjatakan sebilah pedang samurai dan Wan Azmi, 43, telah dikejar oleh mereka dari dalam kedai hingga ke bahagian tandas premis itu di mana mangsa bersembunyi.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh telah bertindak memecahkan pintu tandas itu dan menetak pergelangan tangan kiri mangsa yang turut mengalami luka di tangan kirinya.
Terdahulu, pada prosiding semalam, M.M. Athimulan, seorang daripada peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa mangsa pernah memaklumkan bahawa dia ingin menarik balik laporan polis terhadap mereka.
Turut mewakili tertuduh ialah peguam Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud pula berkata Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memulakan, mengendali dan menamatkan prosiding bagi sesuatu kesalahan.
– BERNAMA