Zahid
Ahmad Zahid (tengah) diiringi Ewon (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Koperasi SMK Badin Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Golongan belia perlu dilibatkan secara langsung dalam tadbir urus dan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana peranan golongan belia adalah kritikal dalam membawa perubahan kepada struktur sosioekonomi.

“Gerakan koperasi merupakan instrumen yang berupaya menawarkan peluang pendidikan keusahawanan dan kepimpinan untuk membangunkan bakat modal insan yang berkualiti tinggi dan lebiih kompeten.

“Landskap ekonomi global berubah dengan pantas dan pasca pandemik Covid-19 memberikan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian segera.

“Penglibatan belia adalah kritikal di mana mereka adalah golongan yang mampu untuk melaksanakan inisiatif secara inovatif seiring dengan gelombang pendigitan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap demikian ketika menutup Asia Pacific Coooperative Youth Summit 4.0 (APCYS4.0) yang berlangsung sejak 27 hingga 30 Julai lalu di sini, semalam.

Menurutnya, APCYS 4.0 merupakan platform untuk koperator muda berkumpul dan mempelajari amalan dan usaha lestari yang diterajui oleh koperasi, mendalami pengamalan berkoperasi secara langsung, berkongsi idea perniagaan koperasi dan mengalami sendiri perbezaan budaya yang dibawa oleh peserta dari negara rantau Asia Pasifik.

“Golongan belia adalah terdiri daripada pelbagai peringkat umur yang bergerak seiring dengan kepesatan teknologi dan mempunyai pengetahuan luas dalam bidang tersebut.

“Saya percaya gabungan kepimpinan belia dan kepimpinan sedia ada dapat mempercepat pencapaian gerakan koperasi serantau dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat yang wajar demi pertumbuhan ekonomi mapan dan inklusif,” jelas beliau.

Pada majlis itu Ahmad Zahid yang diiringi Menteri  Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh buah sekolah iaitu SMK Tansau, SMK Taman Tun Fuad, SMK Putatan, SMK Badin Tuaran, SMK Bandaraya, SMK Pulau Gaya dan Maktab Sabah.

APCYS 4.0 dianjurkan dengan kerjasama ICA-AP Committee On Youth Cooperation yang dihoskan oleh ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi Malaysia dan menerima sokongan KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Sabah Tourism Board dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah (MIDE). — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *