RADi
RADi ( Sumber Foto: Ihsan Sony Music Entertainment Malaysia )

KUALA LUMPUR – Semua orang mendambakan rasa bahagia terutama ketika bersama kekasih yang dicintai. Perasaan itulah yang cuba diinterpretasikan oleh penyanyi muda, RADi menerusi single terbarunya yang berjudul ‘Heaven’.

Menurut adik kepada penyanyi Aisha Retno itu, ‘Heaven’ diinspirasikan daripada pengalaman dirinya sendiri yang dipercikkan sedikit imaginasi agar sesuai dengan selera pendengar masa kini.

“Kisah lagu ini adalah tentang rasa bahagia ketika bersama kekasih, umpama sedang berada dalam syurga. Itulah sebab saya menamakannya sebagai ‘Heaven’.

“Walaupun kita semua tak tahu bagaimana rasa sebenar berada dalam syurga, namun bagi saya apa yang boleh digambarkan adalah ketika kita bersama kekasih.

“Penceritaan lagu ini dihasilkan berdasarkan pengalaman saya sendiri dan dicampurkan dengan imaginasi. Sudah menjadi lumrah dalam bidang muzik, kita perlu jadi kreatif. Saya cuba masukkan sedikit elemen fantasi untuk memperindahkan lagi lagu ini,” katanya.

Bercakap tentang keistimewaan lagu Bahasa Inggeris keduanya itu, RADi menyifatkan ia sebagai sambungan terhadap lagu ‘Maybe’ yang mula diperdengarkan kepada orang ramai pada 3 Februari lalu.

” ‘Heaven’ adalah satu kesinambungan terhadap lagu ‘Maybe’ yang saya lancarkan sebelum ini. ‘Maybe’ merupakan lagu Bahasa Inggeris pertama saya, kekuatan lagu ini adalah pada cara nyanyian dan saya betul-betul bekerja keras untuk menghasilkannya.

“Semoga para pendengar dapat menghayati dengan sebaik mungkin sebagaimana saya sendiri menghayati lagu ini,” katanya.

Dalam pada itu, RADi mendedahkan bahawa demo asal lagu ‘Heaven’ telahpun siap dua tahun lalu. Bagaimanapun proses untuk memperkemaskan naskah itu secara keseluruhan dibuat pada tahun ini.

“Sebenarnya demo lagu ini sudah siap dua tahun lepas, pihak syarikat rakaman saya juga berkenan dan setuju untuk saya lancarkan lagu ini.

“Saya rakam semula vokal dan ‘reproduce’ bersama rakan produser saya, Zain sekitar sebulan lalu. Saya sudah pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, dia lah yang banyak teman dan bantu saya menyiapkan lagu ‘Heaven’ kali ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Berkongsi harapan tentang penerimaan peminat terhadap buah tangan terbarunya itu, RADi yang bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia berharap agar ia dapat menjadi indikasi kepada peningkatan prestasinya sebagai penyanyi baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *