Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri )

SHAH ALAM, SELANGOR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sanggup memendekkan tempoh pembentangan usul daripada dua minggu kepada tiga hari jika parti pembangkang mahu membentangkan undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

Memetik sumber Berita Harian, Pengerusi PH itu berkata pembangkang boleh berbuat demikian jika mempunyai cukup sokongan Ahli Parlimen untuk melaksanakan undi tidak percaya itu.

Menurutnya, beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk undi tidak percaya daripada parti pembangkang sekiranya ia dibentangkan di Parlimen akan datang.

“PAS, BERSATU, kalau ada undi (tidak percaya), bentangkan usul. Saya tidak akan halang (daripada dibentangkan).

“Saya bukan seperti (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Apabila ada yang mahu membentangkan usul (undi) tidak percaya, dia sebaliknya isytihar darurat.

“Kalau nak cabar, sila buat. Saya akan beritahu Speaker Dewan Rakyat, kalau dua minggu terlalu lama (untuk serahkan notis), buat tiga hari,” katanya pada Ceramah Mega Arus Merah Kuning di Subang Bestari malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, calon PH DUN Kota Damansara, Mohammad Izuan Ahmad Kasim, calon PH Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Calon BN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Anwar berkata sejak beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri Kerajaan Perpaduan, pemimpin parti pembangkang berkata kerajaannya hanya boleh bertahan beberapa bulan.

“Seorang pemimpin PAS kata kita hanya boleh bertahan tiga bulan. Jadi saya tunggu Mei, sebelum bulan puasa. Tiada apa-apa (tiada undi tidak percaya).

“Sekarang mereka berkata bahawa ia akan diadakan semasa sidang Parlimen seterusnya pada Ogos,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *