Gambar sekadar hiasan…

JAKARTA, INDONESIA – Tiga pegawai Imigresen di Bali ditahan kerana didakwa terbabit sindiket pemerdagangan organ haram dengan membawa puluhan mangsa ke Kemboja untuk menjual buah pinggang mereka, kata polis Indonesia semalam.

Penahanan dibuat selepas pihak berkuasa menumpaskan sindiket itu apabila menangkap 12 ahlinya, termasuk seorang pegawai polis dan seorang pegawai Imigresen dikenali AH minggu lalu, dipercayai menyeludup 122 mangsa.

Ketiga-tiga pegawai Imigresen itu didakwa bekerjasama dengan AH, yang dikatakan menerima rasuah untuk membolehkan mangsa sindiket melalui pemeriksaan Imigresen dengan mudah, sebelum ke Kemboja bagi pembedahan buah pinggang.

Pengarah Polis Jakarta Jenayah Am, Hengki Haryadi yang dipetik AFP berkata, pegawai terbabit dibawa ke Jakarta tengah hari tadi dan akan berada di bawah tahanan polis Jakarta.

“Sekurang-kurangnya 18 mangsa penderma buah pinggang meninggalkan Bali untuk ke Kemboja antara Mac dan Jun lalu,” katanya.

Pihak berkuasa percaya ada ramai lagi mangsa dan mengalukan-alukan supaya mereka tampil untuk memberi maklumat.

Beberapa ahli sindiket ialah bekas penderma yang menjadi perekrut mangsa dengan menggunakan Facebook dan WhatsApp untuk memikat serta memperdagang mangsa.

Sindiket pemerdagangan organ itu beroperasi sejak 2019 dan mendapat 24.4 bilion rupiah (AS$1,588,614) secara keseluruhan, kata Haryadi kepada wartawan minggu lalu.

Penjenayah terbabit menerima 200 juta rupiah untuk setiap buah pinggang dan mengambil 65 juta rupiah sebagai untung, manakala bakinya diberi kepada mangsa.

“Pembedahan organ dibuat di Hospital Preah Ket Mealea di ibu negara Kemboja iaitu Phnom Penh,” kata polis.

Pemerdagangan organ adalah haram di Indonesia dan 10 ahli sindiket yang ditangkap minggu lalu berdepan hukuman 15 tahun penjara dan denda 600 juta rupiah jika sabit kesalahan.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *