Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek…

SUNGAI PETANI, KEDAH – Satu pertiga daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu tahun ini.

Memetik sumber Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia susulan komitmen kementeriannya yang melanjutkan tempoh pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian sehingga berjaya merekodkan pendaftaran daripada 10,000 calon itu untuk mereka menduduki peperiksaan demi masa depan masing-masing.

“Semasa kita ambil keputusan untuk maklumkan keciciran atau ketidakhadiran pelajar SPM yang lalu, kita dapat mengumpulkan data seramai lebih kurang (hampir) 30,000 orang.

“Komitmen kita ialah melakukan intervensi terhadap 30,000 ini…ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya. Alhamdulillah, kita dapat kenal pasti, apabila kita buat program dan membuka lanjutan tempoh untuk mendaftar ulangan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Universiti AIMST dekat sini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Pada 20 Jun lalu, media melaporkan 30,000 calon SPM 2022 yang tidak menghadiri peperiksaan itu menerima peluang kedua apabila Kementerian Pendidikan melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan itu untuk tahun ini bagi calon persendirian sehingga 30 Jun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum itu dilapor memandang serius terhadap laporan hampir 30,000 pelajar tidak menduduki SPM dan mengarahkan Fadhlina meneliti terperinci isu itu supaya ia tidak berulang pada tahun-tahun akan datang.

Fadhlina berkata, pihaknya kini memberikan perhatian terhadap kira-kira 20,000 orang lagi yang tidak mendaftar untuk mengulang peperiksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *