Ums
Yusop mengambil gambar kenang-kenangan semasa merasmikan Program Semarak Siswa Madani Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud di sini baru-baru ini ( Sumber Foto: Ihsan UMS)

KOTA BELUD, SABAH – Program Semarak Siswa Madani yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mampu membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan kepada jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika merasmikan Program Semarak Siswa Madani Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program yang dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Jun lalu memberi fokus kepada empat program utama yang telah dirangka.

“Ia termasuklah KPT Prihatin Madani, Student for Society (S4S), Inovasi Sosial – Knowledge Transfer Programme (KTP) dan TVET @ Komuniti Madani. 

“KPT Prihatin Madani adalah pelaksanaan program klinik bergerak dan program jangkauan (Outreach) kesihatan komuniti kepada golongan sasar terutamanya golongan luar bandar atau pedalaman dan komuniti B40 yang jauh daripada fasiliti kesihatan. 

“Bagi S4S pula adalah berdasarkan enam teras pembangunan komuniti termasuklah khidmat sosial, pengurusan kemanusiaan, pendidikan berkualiti, kesihatan dan kesejahteraan, kelestarian alam sekitar serta advokasi dan kepimpinan.  

Di samping itu juga, bagi memberi lebih impak kepada masyarakat, KTP telah diperkenalkan iaitu usaha sama di antara IPTA dengan industri tempatan untuk pengukuhan ilmu terhadap komuniti dan industri di Malaysia bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti lokal dan industri. 

“Manakala bagi TVET @ Komuniti Madani pula adalah sumbangan perkhidmatan berasaskan TVET kepada golongan komuniti seperti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), penyelenggaraan bangunan komuniti dan kediaman golongan berkeperluan serta penyelenggaraan kecil motosikal komuniti setempat,” katanya.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Yusof memberitahu, kerjasama erat dan sinergi antara KPT, UMS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam melaksanakan program seumpama itu diharap dapat diteruskan terutamanya dalam memberikan ruang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata, perubahan zaman telah membolehkan semua pihak dapat mengakses maklumat yang diperlukan dengan lebih mudah.

“Revolusi pendigitalan menjadikan proses untuk mendapatkan maklumat lebih pantas. Begitu juga sekiranya ingin mendapatkan maklumat mengenai bidang yang ingin dipohon di IPT. 

“Saya yakin, semua adik-adik yang berada di sini sudah boleh menjangkakan bidang yang dimohon. Pesanan saya, jadikan kemudahan ini untuk membantu dan bukannya membinasakan. 

“Saya menyeru adik-adik yang ada di sini agar sentiasa berusaha untuk maju kehadapan dalam apa jua cabang bidang. Minat boleh digilap dari peringkat sekolah menengah. Jangan mudah mengalah dan sentiasa berikhtiar untuk mengubah nasib kepada yang lebih baik. Ibu bapa di sini juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Yusop turut memberi jaminan bahawa pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan mendapat bantuan sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Kita akan jejaki mereka dan inilah sasaran kita, kalau ada ibu bapa yang mempunyai anak cemerlang, kita ada di sini untuk membantu,” ujar beliau.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *