Mandalipau
Album kenangan kejayaan Gaya CLEO 2023 di SK Mandalipau ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ke arah melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik, Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Gaya terus mengorak langkah dengan Program Gaya Community Leadership Education Outreach (Gaya CLEO) daripada bakal pendidik kepada masyarakat.

Program Gaya CLEO merupakan idea Pengarahnya, Dr Gerturude Jock dan telah diangkat sebagai program tahunan Institut Pendidikan Guru Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 2018.

Pelaksanaan CLEO Siri 1 dan Siri 2 masing-masing telah dijalankan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Tudan, Tuaran pada tahun 2018 dan Sekolah Kebangsaan Melangkap, Kota Belud pada tahun berikutnya.

Selepas tiga tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, institusi perguruan kedua tertua di Sabah itu meneruskan inisiatif dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan Mandalipau, Papar sebagai lokasi Gaya CLEO 2023 dengan moto “By The Students For The Community”.

Platform Jalinan Strategik

Menurut Gerturude, Program Gaya CLEO 2023 akan menjadi platform membentuk jalinan strategik dengan pihak luar bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan melalui pengaplikasian digital sekolah luar bandar khususnya di Sabah.

Ia adalah  kaedah memperkasa kepakaran kepimpinan pendidik dalam usaha meningkatkan penyampaian dan penerimaan pembelajaran antara IPGK Gaya dengan sekolah dan masyarakat.

Pengisian program dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar melalui bimbingan para pensyarah dengan memberi penekanan kepada aspek utama iaitu aktiviti kurikulum, kokurikulum, rekreasi, kepimpinan, khidmat komuniti, dan bimbingan kaunseling.

Mandalipau
Gerturude ketika menyampaikan ucapannya dalam Program CLEO 2023 di SK Mandalipau ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Selain itu, ujarnya, ceramah keusahawanan juga diadakan menerusi perkongsian dua orang tokoh usahawan tempatan dengan penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat.

SK Mandalipau Jadi Lokasi Pilihan

Pengerusi CLEO 2023, Yasmine Natasha Jamil, 22, ketika dilantik untuk mengetuai projek tersebut optimis kerjasama serta sokongan padu daripada rakan-rakan siswa guru, beliau mampu melunaskan tanggungjawab tersebut dengan berjaya dan berkesan.

“Saya dipilih oleh penyelaras program daripada enam calon lain yang disenaraikan. Pemilihan untuk Pengerusi CLEO ini dipilih berdasarkan penglibatan pelajar dalam program dan sumbangan kepada IPG.

“Selain itu, dari segi kepimpinan dan komunikasi berkesan sesama pelajar, pensyarah dan warga IPGK Gaya juga diambil kira,” jelas Yasmine yang juga pelajar siswa dengan pengkhususan Sejarah Pendidikan Rendah.

Malah, gadis berasal dari Kota Kinabalu itu sentiasa konsisten dalam mengatur gerak 38 orang Ahli Jawatankuasa dengan 62 peserta pelajar IPG seiring dengan perancangan yang telah ditetapkan.

Tambah Yasmine, pemilihan SK Mandalipau sebagai lokasi CLEO Siri 3 amat bertepatan dengan objektif CLEO untuk membantu murid-murid di kawasan pedalaman yang tidak mendapat akses jalur lebar khususnya dalam aspek PdP, kokurikulum serta aspek kepimpinan dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat di Kampung Mandalipau.

Kecil Tapak Tangan Nyiru Ditadahkan

Program Gaya CLEO 2023 berlangsung selama lima hari bermula 22 Mei lalu melibatkan 100 orang termasuk para murid, guru-guru SK Mandalipau serta masyarakat setempat dan warga IPGK Gaya.

Menyambut baik program terbabit ibarat “Kecil Tapak Tangan Nyiru Kami Tadahkan,” Guru Besar SK Mandalipau, Asmah Salleh dan warga sekolah amat berbesar hati kerana dipilih sebagai lokasi.

Sepanjang berlangsungnya program, semua peserta komited berkampung di SK Mandalipau bagi menjayakan aktiviti yang dirancang meliputi kurikulum, kokurikulum, kepimpinan, khidmat komuniti dan sesi perkongsian “Keselamatan Dunia Siber” bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mandalipau
Aplikasi scratch media pembelajaran hasil inovasi “Eksplorasi Mesin Gedegang Scratch ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Permasalahan dan perkembangan pendidikan tidak dapat dielakkan sepenuhnya terutama di sekolah kawasan pedalaman, kesukaran untuk mengingat, mengenal dan menulis huruf adalah permasalahan yang sentiasa dihadapi murid tahap satu.

Oleh itu, Jabatan Pengajian Melayu telah menginovasikan penyampaian pembelajaran melalui aktiviti Kenali Huruf dan Menulis (KeRuLis) yang berjaya membantu mengatasi masalah kekeliruan huruf dalam kalangan murid.

Dalam masa sama, pelajar Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Jabatan Bahasa turut membawa inovasi Interactive English Learning Site (i-FIFYS) iaitu medium bersumberkan formula pembelajaran digitalisasi yang telah diinovasikan untuk membantu penyampaian, memudahkan pemahaman murid bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Selain itu, aktiviti inovasi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Pendidikan Jasmani pula memperkenalkan permainan tradisional dalam bentuk digital iaitu “Ayuh! Kenali Konda Kondi”.

Mandalipau
Salah satu aktiviti dalam permainan multimedia interaktif “Ayuh! Kenali Konda Kondi” ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Aplikasi digital ini juga boleh disesuaikan dengan persekitaran sekolah yang mengalami kekangan talian internet. Inovasi ini telah menerima pingat Emas dalam Persidangan Minda: Inovasi Dinamik Institut Pendidikan Guru 2022.

Program Gaya CLEO 2023 juga menerapkan budaya reka bentuk dan teknologi dalam kalangan murid dengan menggunakan aplikasi scratch sebagai media pembelajaran melalui “Eksplorasi Mesin Gedegang Scratch” dengan mengoptimumkan pengintegrasian elemen teknologi maklumat.

Inovasi KeRuLis

Inovasi Kenali Huruf dan Menulis atau singkatannya KeRuLis merupakan inovasi pendidikan berbentuk multimedia digital yang merangkumi kemahiran membaca dan menulis.

Dirintis oleh pelajar opsyen Bahasa Melayu, Md Zahidi Zein Lazim, 22, idea dan reka bentuk KeRuLis disesuaikan kepada murid tahap 1 dalam kemahiran membaca dan menulis.

Mandalipau
KeRuLis mampu mengatasi masalah kekeliruan mengenal huruf dalam kalangan murid ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Anak jati Membakut yang mesra dengan panggilan Zein memberitahu, dia dibantu oleh 10 pelajar serta pensyarah pembimbing, Dr. Rozita Buyoh serta beberapa lagi pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGK Gaya untuk merealisasikan bentuk akhir KeRuLis Siri 1.

“Inovasi KeRuLis dicipta dengan aplikasi PowerPoint dan menggunakan butang aktif apabila ditekan oleh murid, akan mengeluarkan bunyi suku kata terbuka seperti dalam video permainan.

“Inovasi ini merupakan inovasi bersiri yang dicipta untuk murid tahap 1. Bagaimanapun pada waktu ini, hanya inovasi siri pertama sahaja yang baru dicipta untuk program CLEO 2023 di SK Mandalipau, Papar,” katanya.

Tambah Zein, KeRuLis Siri 1 menginginkan murid untuk mengenal suku kata terbuka yang mereka lihat pada skrin komputer berdasarkan bunyi yang dikeluarkan apabila sesuatu suku kata terbuka ditunjukkan dengan kursor tetikus. Kemudian, dengan bunyi tersebut, mereka dapat membina dan menulis perkataan dengan suku kata terbuka yang bermakna.

“Pada muka depan KeRuLis Siri terpapar butang Play dan murid diminta menekan butang itu untuk meneruskan permainan.

“Terdapat tiga pilihan aktiviti dalam aplikasi ini. Bagi pilihan aktiviti 1, murid dikehendaki untuk menekan butang Lagu ABC dan bersama-sama menyanyikan lagu ABC versi kartun animasi Upin dan Ipin sebelum belajar suku kata terbuka.

“Untuk Pilihan aktiviti 2 pula, murid akan meneruskan sesi PdP dengan menekan butang Suku Kata Terbuka dan mempelajari suku kata terbuka bersama-sama dengan bimbingan guru. Kemudian, pilihan huruf dari A hingga Z akan terpapar dan murid bebas menekan huruf yang ingin dipelajari.

“Setelah menekan huruf yang diinginkan, murid tidak perlu menekan apa-apa butang tetapi hanya perlu menunjukkan kursor pada suku kata terbuka yang dipaparkan dan bunyi suku kata itu akan dimainkan secara automatik.

“Manakala bagi pilihan aktiviti 3, murid boleh meneruskan sesi PdP dengan menekan butang Kuiz Kata setelah mempelajari suku kata terbuka. Di sini, murid membaca arahan dan menekan butang Play pada skrin komputer, sebelum memilih suku kata terbuka yang betul berdasarkan gambar yang dilihat pada skrin.

“Sekiranya jawapan murid betul, suku kata terbuka tersebut akan keluar di bawah gambar manakala jika jawapan salah maka bunyi teeet akan keluar menandakan kesalahan,” jelas Zein.

Inovasi i-FIFYs

Seperti KeRuLis, inovasi Interactive English Learning Site (i-FIFYS) juga dicipta oleh anak muda berasal dari Ranau, Gobinath Nair A/L Ravi, 21, yang merupakan pelajar opsyen TESL.

Beliau yang meraih Anugerah Emas Inovasi Peringkat Kebangsaan 2023 menerusi Inovasi Pendidikan Kebangsaan (InoPeK 2023) menzahirkan rasa syukur kerana semua siri interaktif yang diadakan mendapatkan sambutan yang cemerlang daripada para murid SK Mandalipau.

Ujar beliau, kumpulan inovasi digital TESL telah berjaya melaksanakan inovasi digital i-FIFY melalui sebuah fitur secara offline. Malah, komen-komen seperti keseronokan belajar Bahasa Inggeris, para fasilitator yang penyayang, ramah dan mesra merupakan tunjang kekuatan pelaksanaan daripada pihaknya.

“Saya amat terharu dan bangga, kerana para mentee saya berjaya melaksanakan sesi PdPc mereka buat kali pertama sebagai pelajar IPG di Kampus Gaya.

“Cabaran terbesar yang tidak asing lagi bagi para pelajar TESL juga merangkumi kefasihan murid berbahasa Inggeris. Para fasilitator telah mengutarakan bahawa para murid menghadapi kesukaran untuk bercakap dan memahami bahasa Inggeris.

“Namun begitu, saya telah memaklumkan kepada para fasilitator supaya menggunakan Bahasa Melayu seiring dengan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kefahaman berbahasa mereka,” jelasnya.

Dedah Gobinath, penggunaan inovasi i-FIFYs dengan lenggok bahasa yang ringkas dan mudah amat sesuai digunakan untuk pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Inggeris.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan i-FIFYs di SK Mandalipau amat menggalakkan pembelajaran berasaskan murid dalam bilik darjah dengan kuiz-kuiz interaktif dan bahan multimedia yang bersesuaian dengan DSKP Bahasa Inggeris dari Tahun 1-6.

“Buku CHIGONOPHONICS yang telah ditulis juga membantu dalam meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid-murid prasekolah SK Mandalipau,” dedah Gobinath.

KoKurikulum, Kepimpinan dan Khidmat Komuniti

Penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum dan rekreasi dibuat berdasarkan peringkat umur untuk membantu meningkatkan basic motor ability, selain menimbulkan minat dan keseronokan dalam sukan olahraga serta permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan permainan Konda Kondi.

Mandalipau
Kids Athletics disatukan dalam sukan permainan tradisional ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Ia bertujuan menyuburkan kembali permainan tradisional, di samping menyemai nilai-nilai murni seperti kesabaran dan kejujuran dalam kalangan murid.

Salah satu pengisian slot kepimpinan adalah aktiviti bersama dengan pensyarah dari Unit Bimbingan dan Kaunseling IPGK Gaya. Pengisiannya meliputi sesi suai kenal yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Induk CLEO bersama peserta CLEO 2023, ceramah motivasi kepada ibu bapa dan murid, aktiviti Ice Breaking dan latihan dalam kumpulan.

Mandalipau
Latihan dalam kumpulan dapat menjalin hubungan kekitaan dalam kalangan peserta ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Manakala, khidmat komuniti merangkumi seni jalanan gabungan mural dan grafiti yang menggambarkan kombinasi idea digital dan dunia pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekolah rendah.

Aktiviti berkenaan dilaksanakan bersama pelajar opsyen Pendidikan Seni Visual sebagai salah satu usaha menerapkan ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kawasan sekolah dengan mesej melalui lukisan mural dan grafiti.

Selain itu, aktiviti Jelajah Kampung dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mandalipau untuk memperkenalkan warga kampung kepada para peserta Gaya CLEO 2023.

Ketengah PdP Berasaskan Teknologi Digital

Kesimpulannya, Program Gaya CLEO 2023 dilihat sebagai komprehensif  yang diformula khas untuk menjana warga pendidik berinovasi, kompeten dan berhemah dalam menyantuni masyarakat Madani dalam era teknologi digital.

Ia selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan masyarakat Madani yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Paling signifikan, pada kali ini program yang didatangkan khas oleh IPGK Gaya berjaya mengenengahkan PdP berasaskan teknologi digital, inovasi KeRuLis dan i-FIFYS yang terbukti mampu menarik minat murid-murid untuk belajar dengan suasana berbeza dari yang biasa.

Bukankah inovasi seperti ini yang perlu diketengahkan untuk membantu warga pendidik mengatasi isu hampir 12,000 murid yang gagal menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) di Sabah yang timbul dua tahun lalu?

Apakah impak daripada inovasi ini kepada murid di SMK Mandalipau? Apa, siapa dan bagaimana semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing? Ikuti laporan khas ini dalam siri-siri seterusnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *