Shahelmey
Mini Stadium Majlis Daerah Putatan Siap Januari 2025 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Proses menaik taraf dan membaik pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2025.

Menurut Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, kos sebanyak RM 7.89 juta akan dibelanjakan bagi menaik taraf dan baik pulih mini stadium tersebut dan akan bermula pada 27 Julai 2023.

“Pelbagai fasiliti akan disediakan kelak antaranya trek larian permukaan sintetik yang diiktiraf oleh International Association of Athletics Federation (IAAF), lampu limpah, kelengkapan balapan, pembesaran astaka dan padang bola sepak baharu.

“Dinasihatkan kepada semua yang terlibat seperti kontraktor, juru perunding dan pegawai-pegawai kerajaan untuk terus bersikap proaktif dalam pelaksanaan projek ini yang mempunyai jangka masa pendek iaitu 18 bulan untuk disiapkan.

“Kunci kejayaan projek ini adalah pengurusan projek yang cekap dan diharap projek ini nanti akan dapat disiapkan mengikut jadual, spesifikasi serta kualiti yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaik Taraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di sini, pada Rabu.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata projek ini merupakan satu khabar gembira bagi warga Putatan dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar, sekolah-sekolah dan penggiat sukan untuk tujuan melaksanakan aktiviti sukan.

Hadir sama, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Apui Jan. — JABATAN PENERANGAN SABAH 






Previous articleMasyarakat Diseru Terus Menabung di TH

Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *