Arifin
Arifin (tiga dari kiri), Saifulzaman (kiri), Ruslan (empat dari kiri) menyambut ketibaan para jemaah haji di pintu ketibaan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat diseru terus melakukan simpanan di Tabung Haji (TH) kerana memberi kesan positif kepada komuniti.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata selain memperkasa TH, tabungan tersebut mampu menambah sumbangan zakat kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan dengan sendirinya akan kembali kepada golongan asnaf.

“Selain itu, TH dapat menyebarluas tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka seperti yang telah dilaksanakan di Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyediakan katil kepada pesakit dalam wad dan sebagainya.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya menyeru kepada para jemaah yang telah menerima khidmat terbaik TH agar terus menyokong dengan menggalakkan keluarga, sahabat dan komuniti setempat menabung di TH,” katanya ketika ditemui media selepas menyantuni para jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Selasa lepas.

Seramai 274 jemaah haji tiba di KKIA dengan dua penerbangan iaitu 142 jemaah tiba pada pukul 7.30 malam manakala penerbangan kedua tiba pada 8.30 malam dengan 132 jemaah.

Arifin turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak TH yang telah melaksanakan tugas dengan baik menyelaras para jemaah dan berharap agar kuota haji tahun hadapan ditambah walaupun jumlah tahun ini telah meningkat berbanding tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali bersyukur kerana berjaya menjalani ibadah haji dengan baik.

“Semua berjalan dengan lancar meskipun terdapat sedikit cabaran ketika di Mekah dengan bilangan jemaah yang ramai selepas pandemik, namun khidmat keprihatinan TH telah menguruskan segala keperluan dengan baik bermula dari keberangkatan pergi sehingga kembali ke tanah air,” katanya.

Turut hadir menyambut ketibaan jemaah, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *