Pkharuddin
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali ( Sumber Foto: Gambar Google )

NILAI, NEGERI SEMBILAN – Kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negara terbukti apabila akan mula mengagihkan peruntukan sebanyak RM650 juta pada minggu ini.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata setiap sekolah akan menerima RM70,000 bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan tandas yang diberi keutamaan ketika ini.

Katanya, usaha itu dilakukan untuk kepentingan dan keselesan pelajar.

“Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menerima peruntukan RM70,000 mulai minggu ini bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan tandas sekolah.

“Peruntukan ini membabitkan sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan menyelesaikan masalah sekolah daif.

“Saya yakin kerja penyelenggaraan tandas ini dapat dimulakan dengan kadar segera dan kita (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk selesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merasmikan Seminar Nasional Ke-30, Kepemimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi menyelesaikan segera isu sekolah daif di seluruh negara sebagai memenuhi keperluan pendidikan.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata, Pengetua Kolej Pra-Universiti KPM diberikan kuasa autonomi dalam menentukan kemasukan pelajar ke Tingkatan Enam, tahun ini.

Katanya, ia adalah pendekatan baharu kementerian dalam memastikan lebih ramai pelajar yang layak dan berkebolehan masuk ke Tingkatan Enam.

“Ada pelajar yang kurang layak dari segi keputusan sijil untuk ke Tingkatan Enam tetapi mereka ada kebolehan lain seperti dalam sukan dan sebagainya.

“Pengetua boleh menawarkan tempat kepada pelajar ini kerana KPM sudah memberikan kuasa autonomi kepadanya dan kita lihat pelajar ke Tingkatan Enam mempunyai kematangan lebih tinggi.

“Kita memberi galakan kepada pelajar terutama dari keluarga bawah B40 meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam kerana kita sudah sediakan tempat yang sesuai untuk mereka ini,” katanya.

Pkharuddin berkata satu garis panduan mengenai kemasukan ke Tingkatan Enam ini sedang disiapkan oleh pihaknya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *