Lupus
Jenddy (tiga dari kiri) membuka payung sebagai simbolik perasmian program WAP yang turut disertai Dr Malehah (kiri), Heselynn (tengah), Dr. William (tiga dari kanan), Dr. Ferro (dua dari kanan) dan Dr Tan (kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 500 peserta menyertai acara Walk-A-Payung (WAP) sempena Hari Kesedaran Penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, penganjuran program WAP itu amat bertepatan bagi memperkasakan masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai penyakit khususnya SLE.

“Syabas dan tahniah kepada Persatuan SLE Sabah Chapter, Hospital Queen Elizabeth, Universiti Malaysia Sabah dan para penyumbang diatas penganjuran program yang sangat bermanfaat ini.

“Bagi pihak kementerian dan selaku Exco Kesihatan Negeri Sabah, saya menyokong penuh usaha-usaha murni seumpama ini dan adalah menjadi harapan saya agar semua peserta dapat mengambil kesempatan untuk menambah ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai SLE ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Jenddy Sanggau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Systematic Lupus Erythematosus Malaysia (PSLEM), Dr Heselynn Hussin berkata, penyakit SLE adalah penyakit kronik auto-imun yang mana antibodi menyerang tisu badan sendiri menyebabkan radang atau inflamasi di banyak bahagian badan.

“Sehingga ke hari ini punca penyakit SLE masih belum diketahui namun dalam banyak kes pesakit SLE masih boleh meneruskan kehidupan dengan selesa sekiranya dirujuk awal kepada doktor melalui pengambilan ubatan yang sesuai dan pakar kaunselor bagi mengelakkan stres dan kemurungan,” jelasnya.

Program berjalan menggunakan payung sejauh satu kilometer itu adalah sebagai simbolik kesedaran bahawa salah satu kesan penyakit SLE ialah pesakit tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari yang mana boleh mengakibatkan pesakit SLE mengalami radang kulit.

Hadir sama, Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) I, Dr. William Gotulis, Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles, Dr Tan Bee Hwai serta Presiden SLE Sabah Chapter, Dr Malehah Mohd Noh. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *