KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin gerakan koperasi di Sabah yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dan jumlah anggota lebih 350,000 di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
“Saya berbangga kerana Sabah mempunyai bilangan koperasi berdaftar kedua tertinggi
di negara selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta.
“Ini membuktikan gerakan koperasi di Sabah telah berjaya memainkan peranannya dan
menyumbang secara signifikan sebagai salah satu agen pertumbuhan sosioekonomi
yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Koperasi Negara (HKN’23) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Katanya, lebih membanggakan terdapat empat koperasi dari Sabah iaitu Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi Usahawan Tawau Berhad telah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun lalu, katanya.
“Syabas dan tahniah kepada semua koperasi di Sabah. Saya ingin melihat agar lebih banyak lagi koperasi dari Sabah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang.
“Ini adalah kerana wahana koperasi merupakan pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.
“Tekad serta iltizam kerajaan adalah “to facilitate and not to frustrate” bagi membantu menyediakan dasar yang mesra koperasi agar gerakan koperasi secara khususnya di negeri ini adalah berdaya maju dan kompetitif,” katanya.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, kerajaan negeri berharap agar gerakan koperasi di negeri ini dapat mengambil peluang sebaiknya inisiatif serta insentif dana yang disediakan dalam memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburi, katanya.
“Begitu juga dari segi bantuan dana dan tabung pembangunan modal koperasi, saya
dimaklumkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi
(KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan bantuan
pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM Tahun 2023 (TMPSKM) kepada dua
koperasi di negeri Sabah dengan dana keseluruhan berjumlah RM25.9 juta dalam
bentuk pembelian aset tanah kelapa sawit seluas 1,500 ekar dan juga premis
perniagaan runcit.
“Selain itu, SKM juga telah meluluskan bantuan kepada dua buah koperasi melalui program pembiayaan yang dikenali sebagai Program eFAST berbentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi-koperasi yang produktif untuk memantapkan perniagaan,” katanya.
Hajiji berkata peranan koperasi menjadi pelengkap dan berganding bahu bersama
kerajaan dan sektor swasta dalam mengisi ruang-ruang kosong “untapped business
opportunities” yang ada dalam membangunkan negeri ini secara spesifiknya.
“Justeru, saya mahu semua gerakan koperasi di Sabah terus memperkasakan diri, meningkatkan daya saing dan merebut peluang ekonomi yang tersedia.
“Di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi komuniti, sama ada berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan dimana Sabah telah mencatatkan seramai 1.73 juta ketibaan pelancong pada tahun lalu dan tahun ini dijangka seramai 2.2 juta orang dengan berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.
Beliau menggesa koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa, pengangkutan, restoran, taman, dan kedai cenderamata.