Juhar
Tun Juhar ketika menyampaikan perutusan perasmian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah diseru terus mengutamakan prinsip integriti yang dititikberatkan dalam semua lapisan agama.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata kita perlu berganding bahu melaksanakan dasar dengan penuh amanah, telus, berakauntabiliti dan berwibawa.

“Sama-sama kita bergerak mengutamakan kepentingan ummah sehingga mengangkat masyarakat menjadi minda kelas pertama.

“Sejarah juga telah membuktikan bahawa Khalifah Saidina Umar sangat mengutamakan ‘uruf masyarakat setempat sebagai panduan dalam menentukan dasar negara di zaman pemerintahannya.”

Beliau berkata demikian semasa perutusan perasmian Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M, pada Rabu.

Tambah Tun Juhar, prinsip-prinsip tersebut disusun dengan teliti oleh para ulama yang muktabar untuk dijadikan panduan dalam mengatur strategi tindakan dan pelaksanaan sesuatu rancangan, supaya tidak lari dari landasan yang dituntut oleh Islam.

“Rakyat Sabah yang cintakan keamanan harus terus berfikir merangka strategi, metodologi dan pendekatan yang sesuai supaya keamanan yang dikecapi daripada perpaduan kaum yang utuh ini dapat terus dijaga.

“Islam amat menentang segala bentuk ekstremism kerana ia bukan sahaja mengancam keharmonian masyarakat bahkan juga mengancam keselamatan negeri Sabah dan negara kita Malaysia.

“Marilah sama-sama kita melestarikan perpaduan ummah dalam membentuk masyarakat madani bermanhaj sabahi yang harmoni dan tenteram,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ma’al Hijrah 1445H, Datuk Dr Arifin Mohd Arif, pembantu-pembantu menteri dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *