Hajiji
Hajiji disambut oleh ahli-ahli parti setibanya untuk merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok Pusat Daerah Mengundi (PDM) Baru-Baru, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat )

TUARAN, SABAH – Rakyat negeri ini perlu terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan hari ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri pada masa ini mempunyai kesungguhan untuk membawa kemajuan demi kepentingan rakyat dan negeri.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu perlu diperkukuh dan ditingkatkan lagi agar mendapat mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya amat menghargai sokongan padu rakyat selama ini tetapi saya mahu sokongan yang lebih kuat lagi pada masa akan datang, pada PRN yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Baru-Baru, di sini, semalam.

Perasmian mesyuarat peringkat cawangan Gagasan Rakyat bagi PDM Baru-Baru itu adalah yang pertama diadakan bagi bahagian Sulaman yang diketuai Hajiji selaku Ketua Bahagian.

Sempena majlis itu, seramai 150 bekas ahli Parti Warisan (WARISAN) yang diketuai bekas Timbalan Ketua Wira WARISAN Tuaran, Abdul Salim Nurbaya turut menyatakan sokongan terhadap Gagasan Rakyat.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, beliau mahu melihat sokongan rakyat terhadap kerajaan terus bertambah kuat bermula di peringkat PDM atau akar umbi.

Jelasnya, perjumpaan yang diadakan bersama rakyat, seperti pada majlis perasmian mesyuarat cawangan Gagasan Rakyat hari ini adalah gambaran harapan terhadap sokongan berterusan kepada kerajaan.

“Kerana itu, apabila ada perjumpaan seperti petang ini, ia menjadi simbol bahawa saya berharap supaya kita bersatu hati menyokong GRS dan Gagasan Rakyat.

“Kita mesti berpijak di bumi yang nyata dengan menyokong kerajaan. Saya menghargai sokongan ini kerana bagi saya kampung di Sulaman penting lebih-lebih lagi sekarang saya sebagai Ketua Menteri.

“Jadi, saya minta rakyat tanpa mengira suku kaum atau agama untuk bersatu dan menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

“Lain kali PRN jangan lagi panggil pemimpin pembangkang datang kerana wakil rakyat di sini ialah Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Katanya, walaupun masih ada lebih dua tahun sebelum PRN Sabah diadakan, persediaan awal meningkatkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan GRS perlu dilaksanakan dari sekarang.

Tambahnya, usaha itu penting berikutan ada kemungkinan juga PRN diawalkan, tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri ini.

Sementara itu, Hajiji berkata banyak usaha dilaksanakan di Kampung Baru-Baru bagi menambah keselesaan penduduknya terutama dari segi infrastruktur.

Katanya, selain jalan raya beraspal dan bekalan elektrik yang sudah ada, usaha juga dilakukan untuk menyediakan bekalan air melalui sistem telaga tiub sebagai sumber alternatif.

Jelasnya, semua itu dapat dilaksanakan jika rakyat terus bersatu menyokong kepemimpinan kerajaan sedia ada untuk melaksanakan pembaharuan dan pembangunan.

“Kalau kita bersatu, kita akan dapat kemajuan dan tidak lama lagi jalan Pan Borneo akan dibina melalui Kampung Baru-Baru ini iaitu dari Serusop ke Pituru, Kota Belud,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *