Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah tidak sekali-kali akan berkompromi atau menyerahkan haknya yang termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata ia termasuk kelayakan pemberian khas mengikut Artikel 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, peruntukan terbabit menyediakan satu formula dan semakan kelayakan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah.

“Ia adalah perlu untuk menjelaskan perkara ini secara menyeluruh sebagai tindak balas kepada dakwaan tidak berasas itu bahawa
kerajaan negeri telah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.

“Saya boleh menyatakan dengan tegas kerajaan negeri tidak melepaskan sebarang hak perlembagaannya dalam berkenaan dengan pengaturan pada 2022 untuk penyelesaian interim,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi menegaskan penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta yang meningkat daripada RM26.7 juta sebelum ini tidak menjejaskan hak kerajaan negeri.

“Secara khusus, ia tertakluk kepada hak Kerajaan negeri berhubung formula sedia ada dan persetujuan untuk meneruskan rundingan selanjutnya dengan kerajaan Persekutuan.

“Sebagai syarat tambahan kepada pengaturan interim itu, kerajaan negeri mengekalkan hak bagi menuntut apa yang belum dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan semakan perlembagaan setiap lima tahun sekali sejak 1974,” katanya.

Masidi menjelaskan jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, maka perkara itu akan dirujuk kepada penilai bebas seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita kekal dengan pendirian bahawa susunan perlembagaan untuk Sabah ini dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963.

“Ia adalah perkiraan perkongsian hasil yang dipersetujui di antara negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963.

“Tiada siapa yang boleh menafikan fakta sejarah ini. Kerajaan negeri akan sentiasa menegakkan hak perlembagaan negeri.

“Kita menyedari yang dipertaruhkan dan kita akan lakukan yang terbaik bagi memenuhi jangkaan tinggi orang ramai,” katanya.

Disamping itu, Masidi turut menyatakan dengan tegas bahawa undang-undang tinggi (Perlembagaan) harus dihormati.

“Kita yakin bahawa kerajaan Persekutuan dan jerajaan negeri akan mencapai keadilan,
penyelesaian yang adil dan saksama kepada isu yang telah lama tertunggak ini secepat mungkin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *