Polis
Proses memujuk suspek yang mengunci diri dan ibunya dalam bilik tidur ( Sumber Foto: Ihsan IPD Kota Kinabalu )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki yang disyaki kurang siuman mengamuk di rumahnya di Taman Jaya Diri, Sepanggar pada Isnin dan menjadikan kakak dan ibu sendiri sebagai tebusan.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, suspek 42 tahun bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging bertindak mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata suspek turut mengasari kakanya sendiri.

“Suspek merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang,” katanya.

Zaidi berkata bertindak atas aduan, beliau bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah serta beberapa pegawai dan anggota telah ke lokasi.

“Suspek dipujuk untuk menyerah diri namun beliau enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya.

“Suspek menguncikan diri bersama ibunya dalam bilik tidur.

“Selepas hampir dua jam tanpa tanda suspek untuk bekerjasama, anggota bertindak memecahkan pintu bilik itu dan menyerbu masuk,” katanya.

Zaidi menjelaskan bahawa ibu suspek sempat diselamatkan namun suspek berkenaan bertindak aggresif.

“Berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan dan suspek menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat sarjan.

“Kedua-dua mereka mengalamai cedera di lengan, kepala dan bahu kanan manakala suspek hanya cedera ringan di muka.

“Bagaimanapun, ibu suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan untuk percubaan membunuh. Jika disabitkan, hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *