Kebakaran
Salah sebuah dari tiga rumah yang terbakar ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga buah rumah teres dan dua buah kenderaan di Taman Mepo, Kolombong terbakar dalam kejadian kira-kira 4.40 petang semalam.

Menurut sumber, pemilik sebuah rumah yang terlibat sedang mandi apabila terdengar bunyi gemersik.

“Saya keluar dengan berkain sarung bagi mencari punca bunyi dan menyedari rumah saya sedang terbakar.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dua telefon bimbit sebelum berlari keluar ke tempat selamat,” kata mangsa berusia 76 tahun itu.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata dua buah rumah jenis kekal berkeluasan 20×30 terbakar 100 peratus dan sebuah lagi terbakar 70 peratus.

“Turut terbakar, dua buah kenderaan iaitu Isuzu D-max terbakar 100 peratus dan Lori Suzuki satu tan terbakar 50 peratus.

“Lima buah rumah lagi berjaya diselamatkan dari terbakar,” katanya.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran, tiga pancutan 300 kaki sumber air dari pili bomba berhampiran dan jentera ‘water tanker’.

Kata seorang jurucakap bagi agensi berkenaan, pasukan bomba mengalami kesukaran membuat pemadaman kerana tekanan air dari pili bomba rendah.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Operasi terkawal pada jam 6.11 petang,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *