KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC sangat merasai apabila kehilangan pemain berpengalaman Baddrol Bakhtiar yang akan meninggalkan skuad itu selepas menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas pada Sabtu baru-baru ini.

Turut merasai kehilangan kapten pasukan skuada Sang Badak itu ialah pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee bagaimanapun berkata pihaknya menghormati keputusan penyerang berumur 35 tahun itu yang sempat bermain bersama Sabah FC selama kira-kira dua tahun.

Katanya, keputusan yang diambil Baddrol itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ia dibuat demi masa depan bekas pemain kebangsaan itu sendiri.

“Bukan mudah untuk Baddrol memilih untuk bersara, namun apa yang Baddrol lakukan adalah demi kepentingan masa depan beliau, jadi kita harus menghormatinya.

“Seperti mana yang kita tahu, Baddrol bukan saja seorang pemain yang baik dalam padang tetapi juga seorang pemimpin yang cukup baik di luar padang.

“Jadi, kita pasti akan kehilangan seseorang terutama dalam ‘dressing room’ di mana beliau memainkan peranan yang cukup penting untuk pasukan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Harian Metro.

Sementara itu, mengenai pengganti Baddrol, Kim Swee berkata perkara itu terpulang kepada pengurusan Sabah FC untuk membuat keputusan.

Untuk rekod, Baddrol menyertai Sabah pada musim lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Kedah dalam kancah bola sepak tempatan.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *